==================================================
HOME | CORETAN RINGKAS
==================================================

Saturday, July 25, 2009

Cintaku Tertinggal di Kota MAKKAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Sambungan dari kisah perjalanan umrah di Madinah....

Setelah meninggalkan Madinah, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kota Makkah al-Mukarramah dengan perasaan yang sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan Nabi SAW. Perjalanan menuju ke Makkah mengambil masa kira-kira dalam 6 jam. Setelah 12km perjalanan, kami berhenti miqat Bir Ali untuk berniat Ihram dan niat menunaikan ibadah umrah (miqat biasa bagi rombongan umrah dari Madinah). Setelah selesai solat sunat di Masjid Bir Ali, kami bersama-sama berniat ihram di atas bas sebagaimana sunnah Rasulullah SAW yang berniat ihram di atas unta baginda. Maka bermulalah perjalanan umrah kami, terasa satu tanggungjawab yang berat untuk kami pikul bagi menjaga pantang larang ihram ini. Kami berjemaah melafazkan talbiah yang diketuai oleh mutawif kami. Laungan talbiah di teruskan untuk beberapa ketika sehingga akhirnya mutawif kami meminta kami meneruskannya secara bersendiri dan mencadangkan agar kami berehat atau tidur kerana perjalanan selepas ini untuk melaksanakan umrah memerlukan tenaga untuk menjayakannya.

Tidak lama kemudian, kami berhenti di Wadi’ Qudait untuk solat Zohor dan makan tengahari. Sememangnya cuaca sangat panas ketika itu, melebihi 40° ke atas. Namun apalah sangat panasnya cuaca sebegitu jika dibandingkan dengan panasnya dibakar api neraka. Setelah selesai menunaikan solat jama' taqdim zohor dan asar, kami beramai-ramai pergi makan tengahari di kedai berhampiran. Kami makan nasi mandi (makanan arab) secara talam. Ramai juga jemaah lain yang makan secara talam. Ada satu keluarga jemaah umrah yang bersama kami, makan secara talam dengan seluruh anggota keluarganya, seramai 9 orang kesemuanya, sangat meriah suasananya terutamanya dengan gelagat anak bongsunya, Syahir yang sentiasa mencuit hati kami.

Selesai makan, kami meneruskan perjalanan kami dengan pantang larang ihram yang terus dijaga. Mutawif sekali lagi mengetuai kami untuk bertalbiah dan untuk beberapa ketika kemudiannya mutawif mempersilakan kami untuk berehat. Kali ini saya tidak terasa mengantuk, mungkin tidur tadi sudah mencukupi. Ku memerhatikan keadaan perjalanan ini, perjalanan yang pernah ditempuh oleh Nabi SAW. Di dalam hati, ku berkata sendirian.. panas beginikah yang dilalui Nabi SAW? Aku yang menaiki bas yang mempunyai air-cond ini pun terasa kurang sejuk, bagaimana pula dengan Baginda? Perjalanan yang dihiasi batu-batan yang besar dan kecil dengan pelbagai warna, sememangnya berbeza dengan suasana negara kita. Pada mata kasarku, perjalanan ini sangat mencabar dan aku mengakui aku sememangnya tak kuat untuk lalui perjalanan seperti Baginda yang hanya menunggang unta dan bekalan makanan yang entah seberapa, alangkah rendahnya aku berbandingmu Ya Muhammad..

Menghampiri Tanah Haram Makkah, semua jemaah dikejutkan oleh suara Mutawif yang mahu kami membaca doa memasuki tanah haram. Doa memasuki tanah haram di baca dan di aminkan bersama. Moga ia menjadi saksi dan penebus. Kemudian, mutawif kami mula menceritakan sejarah & keistimewaan tanah haram Makkah. Hati ini semakin berdebar-debar, sayu, tidak sabar dan pelbagai perasaan bercampur baur sekali lagi sepertimana perasaan ketika memasuki bumi Madinah tempoh hari. Masuk saja ke Kota Makkah, kelihatannya semua manusia sedang sibuk, jalanraya penuh dan sesak, kedai-kedai rancak beroperasi. Mata ini tercari-cari, di manakah letaknya Masjidil Haram. Akhirnya di celahan bangunan-bangunan, kelihatan dinding Masjidil Haram. Saat itu, segala rasa letih dan penat hilang entah ke mana, digantikan dengan perasaan sayu, berdebar-debar dan tidak sabar.

Akhirnya bas kami berhenti di depan Hotel Qasr Al-Qamar, hotel yang menjadi tempat penginapan kami untuk sepanjang tempoh berada di Makkah. Bak kata salah seorang mutawif kami, hotel di Makkah tak semewah hotel di Madinah, tapi katanya 7 bintang. Hehehe. Sempat lagi berjenaka. Tak kisahlah hotelnya mewah atau tidak, yang penting dapat menginap di sana. Alhamdulillah, lokasi hotel kami agak dekat jaraknya dengan masjidil haram. Lokasinya berhampiran dengan istana & tempat kereta jenazah menunggu di luar masjidil haram. Setelah mengemaskan barang-barang ke dalam bilik hotel, mutawif kami memberitahu bahawa dia akan membawa para jemaah umrah melaksanakan ibadah umrah malam nanti. Namun, aku dan keluargaku tidak mahu menunggu waktu malam nanti untuk menyempurnakan umrah kami, berat rasanya ingin menjaga pantang larang sebegitu lama. Rupa-rupanya kebanyakan jemaah lain juga seperti kami, ramai yang ingin menyempurnakan umrah mereka pada saat itu.

Oleh itu, setelah memberitahu mutawif kami.. kami menuju ke masjidil haram yang jaraknya hampir 300meter dari hotel kami. Saat memasuki masjidil haram, hatiku sangat berdebar-debar, rasa seperti tidak percaya kerana dapat menjejakkan kaki ke sini. Alhamdulillah, Ya Allah kerana memberiku peluang untuk menjadi tetamuMu. Sambil mata mencari-cari, akhirnya kelihatan Kaabah di celah-celah tiang. “Kami menyahut seruanMu Ya Allah, Kami datang kepadaMu Ya Allah” Di dalam hati ini, seribu satu perasaan bercampur baur menjadi satu perasaan yang tak tergambar dengan kata-kata. Saat itu dengan tiba-tiba terlintas mengenai sejarah pembinaan kaabah suatu ketika dahulu. Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. dengan petunjuk daripada Allah s.w.t. Terdapat banyak kelebihan melihat Kaabah antaranya.. kata Ibnu Abbas r.a, "Memerhatikan Kaabah akan mengukuhkan iman". Hamad bin Abi Salamah Rahimahullah pula berkata, "Orang yang memerhatikan Kaabah adalah seperti orang yang bersungguh-sungguh dalam beribadat". Mujahid berkata: "Memerhatikan Kaabah merupakan ibadat". Said bin Musayyab berkata: "Sesiapa yang memerhatikan Kaabah dengan penuh keimanan dan kepercayaan, akan gugurlah segala kesalahan dan dosanya sebagaimana ketika dia dilahirkan". Wallahualam....

Lebih kurang jam 6.10petang kami memulakan tawaf kami mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan. Selesai melaksanakan tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf di hadapan multazam. Satu perasaan yang hanya menjadi kenangan manis di hati ini, tidak mampu digambarkan atau diceritakan. Terasa begitu hampir dengan Allah dirumahNya ini, walaupun Allah itu hampir dengan kita walau di mana jua pun. Setelah selesai menunaikan solat sunat tawaf, jam sudah menunjukkan pukul 6.50petang. Kami segera mencari tempat untuk solat maghrib berjemaah di situ, waktu solat maghrib pada ketika itu adalah jam 6.58petang.

Selesai maghrib, ibadah kami diteruskan lagi dengan mengerjakan Sa’ie antara Safa dan Marwah. Satu ibadah yang benar-benar menguji kekuatan fizikal dan rohani. Pastinya mengingatkan kembali susah-payahnya Siti Hajar ketika ditinggalkan bersama anaknya Ismail, yang mana pada waktu itu keadaannya jauh berbeza, di tengah padang pasir yang kering kontang. Kini, semuanya selesa, dengan bumbung dan aircond serta laluan yang bersimen. Alhamdulillah, Ibadah Umrah yang menjadi tujuan utama kami ke sini selesai juga setelah kami bertahallul. Kemudiannya, azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat Isya'. Saya dan mak segera mencari tempat untuk solat di tengah-tengah tempat saie tersebut. Setelah selesai solat, kami pulang ke hotel penginapan kami untuk makan malam dengan perasaan yang sangat bersyukur kerana akhirnya umrah kami telah selesai.

Keesokan harinya, aktiviti kami adalah aktiviti persendirian. Para jemaah bebas untuk ke mana-mana. Ramai yang mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan melakukan solat-solat sunat di masjidil haram, tawaf sunat, umrah (miqat di Tana'im, Jaaranah, Hudaibiyah) dan pelbagai lagi.

Hari berikutnya, kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Makkah. Destinasi pertama kami adalah di Jabal Thur di mana Jabal Thur merupakan tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar dari kaum Quraisy. Mengikut sirah, ketika Rasulullah mula berhijrah ke Yathrib (Madinah), baginda bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur di Jabal Thur dari Kaum Quraisy. Anak Abu Bakar, Asma turut mendaki Jabal Thur membawa makanan untuk Rasullullah SAW dan ayahandanya. Di sini, sempat juga seorang pak arab mengekori kami untuk mengambil gambar kami dan dijual semula kepada kami walaupun kami tidak mahu. Akhirnya kami membenarkannya mengambil gambar kami dan setelah gambar itu siap, pak arab tersebut minta bayaran sebanyak 5 riyal.

Seterusnya kami menuju ke Arafah. Di sinilah tempat jemaah haji berwukuf pada hari ke-9 bulan Zulhijjah setiap tahun dan berakhir pada Hari Raya Haji yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijjah. Di Arafah, terdapatnya sebuah perbukitan batu yang dikenali dengan nama Jabal Rahmah di mana pada puncaknya terdapat tugu berwarna putih yang memiliki nilai sejarah keislaman tinggi. Jabal rahmah bererti bukit atau gunung kasih sayang, diyakini umat Islam sebagai tempat bertemunya antara Nabi Adam AS dengan isterinya Siti Hawa setelah terpisah selama ratusan tahun kerana diusir oleh Allah SWT dari Syurga ke Bumi. Keduanya diusir setelah melanggar larangan Allah, yakni memakan buah Kholdi, akibat tergoda dengan hasutan Iblis. Di sini, kami sempat bergambar bersama unta yang telah dihias penuh pada badannya. Kadang-kadang bila melihatkan unta tersebut, rasa kasihan pun ada kerana terlalu sarat dengan perhiasan. Ramai jemaah yang naik ke atas bukit tersebut untuk melihat tugu berwarna putih yang terdapat di atasnya.

Kemudian, bas kami membawa kami melihat kawasan di Muzdalifah dan Mina di mana ia merupakan tempat para jemaah haji menyempurnakan rukun haji mereka. Bas kami tidak berhenti, sekadar melalui kawasan tersebut. Kemudian, kami menuju ke Jabal Nur (Gua Hira'). Baginda SAW kerap memencilkan diri di Gua Hira' yang terletak di Jabal Nur di Mekah untuk berfikir dan bertadabbur. Di Gua Hira' inilah Baginda menerima wahyu yang pertama dan turunnya ayat al-Quran yang pertama. Setelah selesai menziarah ke tempat-tempat bersejarah, kami dibawa ke Ja'ranah untuk bermiqat umrah dan seterusnya kembali ke Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah.

Setelah tiba di Makkah, kami terus melaksanakan umrah kami. Walaupun keadaan cuaca agak panas, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk mengerjakan umrah. Alhamdulillah, akhirnya segalanya selesai setelah kami bertahalul. Ku bersyukur ke hadrat Ilahi atas kenikmatan yang diberikannya.

Keesokan harinya, kami dibawa menziarahi Muzium di Makkah. Di muzium ini terdapat banyak pameran-pameran mengenai Kaabah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Di sini juga merupakan tempat untuk menenun kain hitam untuk diletakkan di kaabah atau lebih dikenali sebagai kiswah kaabah. Kain ini mengambil masa lebih kurang selama 1 tahun untuk disiapkan. Lama juga tu. Setiap 1 tahun juga kain hitam di kaabah tersebut akan diganti dengan kain tenunan yang baru. Di muzium ini juga terdapat replika kedua-dua masjid dan banyak benda-benda yang terdapat di Kaabah yang sudah tidak digunakan lagi.

Setelah melawat muzium Makkah, kami dibawa ke Tanaim (Masjid Saidatina Aishah) untuk bermiqat umrah untuk kesekian kalinya. Selesai bermiqat dan solat sunat, kami dibawa kembali ke Masjidil Haram, Makkah untuk menyelesaikan umrah kami.

Beberapa hari seterusnya adalah aktiviti bebas. Oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk melaksanakan ibadah umrah bersendirian. Kami menaiki van (5 riyal untuk satu orang) ke Tana'im untuk bermiqat di sana. Seperti kebiasaan yang kita dengar daripada orang-orang yang pernah ke sana, perempuan tidak digalakkan naik van sebelum lelaki, takut dibawa lari Pak Arab. Oleh itu, kami ikut sahaja nasihat tersebut. Alhamdulillah, tiada apa yang terjadi.

Alhamdulillah.... Kami sekeluarga sempat mengerjakan umrah beberapa kali secara bersendirian.

Seperti yang semua ketahui, di Kaabah terdapatnya hajarul aswad. Berdekatan kaabah terdapatnya makam Nabi Ibrahim. Bercerita mengenai hajarul aswad, terdapat riwayat sahih bahawa Nabi SAW telah bersabda, "Allah akan membangkitkan Hajarulaswad pada hari Kiamat dengan mempunyai dua mata yang dapat melihat dan lidah yang dapat berkata-kata. Ia akan menjadi saksi kepada sesiapa yang mengucupnya dengan keadaan yang sebenar." Imam Tirmizi mensahihkan hadis Rasulullah SAW dimana baginda bersabda, "Hajarulaswad diturunkan dari Syurga dalam keadaan lebih putih daripada susu tetapi telah dihitamkan dengan kesalahan dan dosa anak-anak Adam."

Bercerita mengenai makam Ibrahim pula, Rasulullah SAWtelah bersabda, "Rukun (penjuru Kaabah) dan Maqam Nabi Ibrahim AS diperbuat dari permata-permata delima dari Syurga. Allah telah padamkan cahaya keduanya, jika tidak tentu cahayanya akan menerangi antara timur dan barat. "

Beberapa hari kemudian, kami dibawa oleh pakej kami ke Ladang Unta. Di sini, kami boleh mendapatkan susu segar unta dengan harga 10 riyal. Susu unta banyak khasiatnya dan sememangnya sedap. Di kala badan rasa kehangatan dek kepanasan suhu (kira-kira 45 darjah), susu untalah yang dapat menghilangkan sedikit rasa kehangatan tersebut. Di sini, sememangnya terdapat banyak unta dan unta-unta yang sakit diletakkan di kawasan yang berasingan supaya penyakitnya tidak berjangkit dengan unta lain.

Setelah melawat ladang unta dan bergambar kenangan di sana, kami dibawa ke Hudaibiyah untuk bermiqat umrah. Seperti yang ramai sedia maklum, Hudaibiyah merupakan tempat di mana termaktubnya Perjanjian Hudaibiyah. Peninggalan zaman Rasulullah SAW di sini masih lagi utuh.

Antara keistimewaan yang terdapat di Makkah tentunya air zamzam. Terlalu banyak fadhilat air zamzam. Rasulullah SAW bersabda (mengenai air Zamzam), "Sesungguhnya air Zamzam itu merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar yang menyembuhkan penyakit". Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, "Air Zamzam merupakan penawar yang menyembuhkan berdasarkan kepada niat meminumnya". Diriwayatkan juga daripada Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sebaik-baik air yang keluar dari perut bumi ialah air Zamzam, terdapat padanya makanan yang boleh mengenyangkan dan penawar yang boleh menyembuhkan penyakit."



Itu sahaja perkongsian kisah dan sejarah sepanjang perjalanan di Makkah yang sempat saya tulis. Dan, saya juga ingin berkongsi beberapa kenangan yang menarik, melucukan dan yang berkaitan dengannya sepanjang berada di Makkah.
  • Terjumpa Amirah (junior sekolah menengah, adik kesayangan Kaer) di tempat Saie.. Mulanya nampak macam kelibat Amirah & adiknya, tapi tak berapa pasti.. nak tegur & tanya tapi tak berkesempatan disebabkan terlalu ramai manusia.. Saat itu terlintas dalam hatiku agar dapat berjumpa semula dengan orang tersebut mungkin di waktu lain. Alhamdulillah, beberapa pusingan saie kemudian (ketika di Bukit Safa), dia berada di sebelahku.. dan aku menegurnya, ternyata dia memang Amirah. Takku sangka berjumpa dengannya di sini.
  • Satu hari, ketika ingin menuju ke Masjidil Haram dari hotel penginapan untuk solat berjemaah di sana.... terlihat kelibat Ustaz Zulkarnain (pengacara Kalam Suci di Astro Oasis). Rupanya dia baru sahaja sampai ke Makkah waktu itu. Dia membawa jemaah Umrah Kembara di bawah Rayhar Travels ke Makkah, katanya ramai sangat jemaah umrah kembara kali ini. Umrah kembara sebenarnya dikhususkan kepada para remaja, banyak aktiviti kerohanian & pengisiannya sangat bagus di samping menunaikan umrah. Katanya, umrah kembara ini biasanya diadakan setiap tahun. 
  • Ketika di dalam Masjidil Haram, terlalu ramai kanak-kanak kecil yang comel-comel. Berkesempatan  juga untuk bermain-main beberapa kali dengan kanak-kanan di sana sementara menunggu masuk waktu solat. Paling saya ingat, seorang anak Arab yang datang bersama ibunya duduk di sebelah saya, namanya Nor Syam. Sangat comel kanak-kanak lingkungan 3-4tahun itu. Nasib baiklah tahu bahasa arab sikit-sikit ditambah pula dengan ibuku yang sememangnya boleh berbahasa arab, dapatlah kami berkomunikasi dengan budak comel itu & ibunya.
  • Perkara yang sangat menyentuh hati saya adalah ketika melihat kanak-kanak Arab yang hanyalah berumur 4-6 tahun sudah menghafaz Al-Quran. Saya yang sudah 18 tahun pun belum dapat menghafaz Al-Quran melainkan beberapa surah-surah pendek di dalamnya. Sungguh bertuah mereka yang dilahirkan dengan bahasa arab merupakan bahasa mereka. Itulah sebabnya saya tersangat ingin belajar & mendalami lagi bahasa arab supaya mudah untuk menghafaz Al-Quran. Ada satu insiden di mana, adik beradik ini.. lelaki & perempuan, lingkungan 4-6 tahun. Kakaknya mendengar adiknya menghafaz Quran dan seterusnya mereka bergilir-gilir. Saya sempat menegur kanak-kanak itu sebentar & ingin mendengar mereka menghafaz Quran tanpa melihat Quran... dan sememangnya sangat mengkagumkan! Mereka menghafaz Quran dengan baik, sebutannya lancar tanpa tersekat-sekat, hukum tajwidnya bagus dan bacaan mereka pun sedap. Ibu kanak-kanak di seblah hanya tersenyum saat saya mengatakan "thayyib" kepada kanak-kanak tersebut. Tentu sejuk perut ibu yang melahirkan anak seperti itu apabila melihat anak mereka membesar dengan baik. Mungkin mudah pada mereka untuk menghafaz Quran kerana bahasa arab merupakan bahasa perbualan seharian mereka, namun pada aku kanak-kanak seusia mereka belum tentu semuanya dapat menghafaz buku yang menggunakan bahasa perbualan seharian masing-masing.
  • Ketika sedang menunggu masuknya waktu solat, saya biasanya mengisi masa dengan membaca Quran (kadang-kadang menegur & bersilaturahim dengan jemaah di sebelah). Satu hari, saya membaca Quran sambil menunggu azan Zohor. Setelah habis membaca al-Quran dengan kalimah "Sodaqallah hul azim", saya menutup & menjunjung Quran. Sebentar kemudian, jemaah Pakistan di sebelah segera mengambil Quran milikku dan dia mencium Quran tersebut, kemudian dia memberi Quran tersebut kepada rakannya di sebelah, kemudian baru dia memberi kepada saya kembali. Dia suka mendengar orang membaca Quran dan sebab itu dia mengambil Quranku & terus menciumnya. Alhamdulillah. Setelah itu, kami mula bertanyakan asal masing-masing & beberapa hal lain.
  • Alhamdulillah, sepanjang berada di sini.. tiada kejadian pelik berlaku padaku seperti yang sering diceritakan orang lain. Alhamdulillah, saya tidak pernah tersesat di sana walaupun kadang-kadang ke masjidil haram berseorangan tanpa mak ayah dan lain-lain. Di sini juga, segala apa yang diungkapkan atau terlintas di kepala, semudah-mudahnya akan termakbul berdasarkan pengalaman yang telah saya alami, sebab itu janganlah sekali-kali fikirkan perkara yang tidak baik kerana kemungkinan ia juga akan termakbul. Apa sahaja yang dilakukan, pastikan NIAT itu IKHLAS dan sentiasalah berdoa, insyaALLAH... para malaikat akan mendoakan kita & Allah SWT akan membantu kita. Wallahualam.

Pada hari terakhir kami berada di Makkah, hatiku menjadi sangat sayu. Bangkit sahaja dari tidur, jam 2.45pagi.. hati saya menjadi sayu & terasa sangat berat untuk meneruskan hari itu kerana saya tahu saya bakal meninggalkan Tanh Suci Makkah pada sebelah petangnya.

Selepas Zohor, saya melakukan tawaf selamat tinggal baitullahil haram. Saya merasakan satu perasaan yang sangat sukar diungkapkan dengan kata-kata, terlalu sedih & berat rasanya untuk meninggalkan Makkah. Setelah selesai tawaf & solat sunat, saat berdoa saya memohon kepada Allah SWT agar dapat ke sini lagi & moga-moga ini bukanlah kali terakhir. Tersedu-sedu dalam tangisan saat itu. Terlalu berat rasanya. Terus terang saya katakan, saat saya menulis ini pun saya masih merindui Makkah & air mata jua mengalir lagi. Ya Allah, izinkanlahku untuk ke sana lagi, berada di sana membuatkanku rasa sangat tenang tanpa sebarang masalah & hanya memikirkan tentang ibadat kepadaMu. Namun di negaraku, banyak perkara yang perlu difikirkan, masalah sentiasa ada & tidak pernah berhenti dari mengejarku, namun masalah itulah yang memberi pengajaran dan tarbiyah kepada setiap manusia agar lebih kuat. Aku benar-benar merindui MADINAH & MAKKAH... Cintaku tertinggal di sana...........................


Perjalanan pulang kami dari Makkah menuju je Jeddah, untuk ke lapangan terbang di Jeddah. Dalam perjalanan kami ke Jeddah, kami sempat melihat sebuah rumah yang sangat cantik & unik di tepi jalan. Saya sempat mengambil gambar rumah tersebut di atas bas.

Kami meneruskan perjalanan kami & bas kami berhenti di Masjid Terapung untuk kami menunaikan solat Asar di sana. Masjid Terapung berdekatan Laut Merah mengingatkan saya kepada sejarah islam terdahulu di mana laut inilah yang telah dibelah oleh Nabi Musa AS menggunakan tongkatnya untuk menyelamatkan dirinya & umatnya daripada ancaman Firaun.

Selesai solat Asar di sana, kami sempat menangkap beberapa gambar untuk dijadikan kenangan. Seterusnya kami menuju ke lapangan terbang Jeddah untuk naik kapal terbang & pulang ke tanah air tercinta. Terus terang saya katakan, jikalau boleh saya memang taknak pulang ke Malaysia, biar tinggal terus di sana namun apakah dayaku. Redha bersama-samaku ketika di atas kapal terbang menuju ke Malaysia.

Silatuharim yang terbina antara para jemaah Rayhar Travels yang bersama-sama aku menunaikan umrah, bersama beberapa orang di Madinah, dan Makkah akan tetap ku ingati. Ada yang sudah tidak berhubung langsung kerana tak sempat nak minta apa-apa cara untuk berhubung, namun ku akan sentiasa merindui & insyaALLAH tidak akan melupakan mereka. Doaku sentiasa mengiringi mereka, keluargaku & sahabatku. InsyaALLAH.

Tabarakallah
Anis Hayati

8 comments:

Cikgu Adham said...

slm.. thanks for this artikel.. selain pengajaran, kawe dpt sedikit gambaran mengenai Kota Makkah sekarang...

anisazami said...

nis,aku agak sayu dgr citer ko ni..teringat mse aku gi dulu. mmg kenangan kat sne tak dpt nak lupa. tmpt yg paling damai aku rse. makkah dn madinah tmpt yg suci :) aku harap satu hari aku dpt jejak kat sne lagi..

Ustaz Uwais AlQorny AL-HAFIZ said...

hmm. rasa rindu nk pi mekah n madinah. doakan semoga dpt pi sana awl time miuda2 ni ;-)

Ustaz Uwais AlQorny AL-HAFIZ said...

dalam tiada masa pon, boleh pulak taip pnjg sampai tara tu. (^_^)

Anonymous said...

Askm dik Anis, akak nk tny, thn ble awk g sne eak??

Hasni Azlan said...

teringat kali pertama menjejakkan kaki ke makkah, saya uzur. Tp hati tak tertahan utk melihat baitullah .. lalu suami membawa saya untuk melihat dari luar sahaja. Tempat paling hampir cuma dari tempat sai'e. Ketika itu, rasa begitu terharu kerana Allah memberi peluang pada saya untuk sampai ke tanah suci. Terasa betapa bertuahnya diberi peluang walau diduga.

Anonymous said...

ASSALAMUALIKUM...
SAYA NAK TAHU KEADAAN PENGINAPAN DI QASR AL-QAMAR....APA KELEBIHANNYA DAN KEKURANGANNYA...TERIMA KASIH

Anonymous said...

ALLAHURABBI... tulisan yg membuatkan saye semangt untuk pergi ke sana... Allahurabbi... bagaimana keadaan sebenar ye...sedangkan, baru saje tulisan dan gmbaran saye je, sudah buat saye menitis air mate,... moga ku dapat menjejakkan kaki ke sane.. syukran anisH..

~ahmad nabil m.Alias~

Post a Comment