Sunday, November 22, 2009

Handphone Rosak, Nak Nombor Kawan2...

Mutiara Kata Hari Ini:
Wahai sahabatku.. Mengapa kita senang sekali menilai orang lain, padahal itu bukan hak kita? Mengapa kita juga suka sekali mengharapkan penilaian orang lain, padahal itu hanya akan menghapus nilai pahala? Bukankah hanya kepada ALLAH SWT saja yang berhak menilai seluruh perilaku hamba-hambaNya? Kalau begitu, mengapa kita terikut-ikut menilai dan minta dinilai oleh orang lain? Renungkalah!


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...




Kepada kawan-kawan yang terbaca post ni, minta tolong SMS kepada saya, nombor telefon anda semua & beritahu siapa anda. Kalau tak mahu SMS, boleh komen post ni, jangan risau.. komen blog ni perlu di approve terlebih dahulu, saya takkan publish nombor kawan-kawan di sini. Ataupun email kepada saya atau mesej di friendster atau apa-apa saja cara yang memudahkan kawan-kawan. Saya mohon maaf kerana menyusahkan semua. Telefon saya rosak dan banyak sangat nombor kawan-kawan yang telah hilang, sedihnya. Saya harap kawan-kawan dapat tolong saya ye. Saya masih menggunakan nombor telefon yang lama. Moga-moga ukhuwah kita takkan terputus.

Terima kasih atas bantuan kawan-kawan semua.

Wednesday, November 18, 2009

Saat Penentu Masadepan (SPM)

Mutiara Kata Hari Ini:
Wahai Mujahid Islam!! Jangan sesekali kau patah semangat kerana sumber semangatmu adalah ALLAH. Teguhkan hatimu dan kuatkan langkahmu untuk menempuh onak duri perjuangan. Tiada kejayaan dengan jalan yang senang. Moga ALLAH memayungi tiap langkahmu dan menghapuskan air matamu tatkala diri lemah dengan ujianNya..


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...



18 November 2009 (esok) adalah tarikh keramat bagi semua pelajar tingkatan 5 kerana ia adalah tarikh bermulanya SPM. Oleh itu, di kesempatan ni akak nak ucapkan Semoga Berjaya kepada semua adik-adik akak (junior-juniorku) yang akan menghadapi SPM esok. Korang buatlah yang terbaik ye.. Hampir 2 tahun korang dah belajar, bertungkus lumus dan macam-macam, jadi berperanglah dengan sebaiknya untuk SPM esok. InsyaAllah, akak sentiasa mendoakan kejayaan untuk korang, moga-moga dapat keputusan yang cemerlang. Selamat Berjuang adik-adik!

Kepada semua junior-junior sekolahku (SMKDE).. Zaid Effendi, Siti Nisa (sepupu Kak Mizah), Wan Syafiq, Aja, Afif (anak mamapip), Waei, Rabihah, Najihah, Mizi, Aniq Airil, Anis Filza, Aimi, Hanafi, Nasrul, Syira, Asyiqin, Mardziah, Hafiz (anak Puan Norhaimah), Izan, Pejal (adik Firdaus), Amir Fitri, Hartini, Midiz, Anasuha, Musfira, dan ramai lagilah... tak tertulis semua nama pulak, ramai sangat... Harap jangan ambil hati ye kepada nama-nama yang tak ditulis... Apa pun, akak doakan yang terbaik untuk korang semua.

Sedikit ucapan untuk beberapa orang adik-adikku...
Zaid Effendi.. terima kasih untuk segalanya, Zaid banyak sangat tolong akak & akak sangat-sangat menghargainya, akak minta maaf kalau selalu menyusahkan Zaid. Buat yang terbaik untuk SPM ni ye, jaga kesihatan baik-baik. Siti yang ku rindui.. Harapnya suasana belajar kat Kelantan tu oklah, mesti Siti dah pandai kecek Klate kan? Hehehe.. Buat SPM ni molek deh, akak rindu Siti do'oh, lamo tok jupo.. Rindu.. Rindu.. Rindu..!! Wan Syafiq, jiranku si Awe Klate.. All the best ye Wan, jangan stress-stress dengan macam-macam masalah ok, apa-apa pun banyakkan doa ye. Aja si comel.. semoga berjaya ye dik, buat betul-betul tau. Afif si peminat Farah Diana, hehehe.. akak doakan yang terbaik untuk Afif, nanti kirim salam kat mama Afif ye (ntah-ntah mamapip yang baca blog ni dulu.. hehe). Waei.. Terima kasih Waei sebab selalu bagi komitmen yang tinggi masa bekerjasama dulu, akak doakan semoga berjaya ye. Rabihah.. Dulu kita tuisyen English sama-sama kan dik? Teringat kenangan kat rumah Puan Laila tu, indah kenangannya.. apa pun buat yang terbaik ye budak comel. Najihah a.k.a Jeebob, pengawas dedikasi... akak tau awak boleh buat, all the best untuk SPM ye. Mizi, jaga kesihatan ye, jangan asyik menyanyi je. Hehehe.. Apa pun, all the best, buat betul-betul SPM ni ye.

SEMOGA BERJAYA!!

p/s: Tajuk post ni adalah hasil peniruan daripada
blog sahabatku, Firdaus... hehehe.
Maaf ye Cikgu Add Mathku.. XD

Thursday, November 12, 2009

Subhanallah.. Indahnya CiptaanNya

Mutiara Kata Hari Ini:
Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami an perhentian kami ialah ALLAH.”


سم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


 Gambar di atas kredit kepada pemiliknya.

Apa khabar iman kita pada hari ini? Moga lebih baik daripada semalam. Jika anda seorang penggemar atau mempunyai hobi suka melihat bulan, bintang, atau apa sahaja keindahan alam semulajadi ciptaan Ilahi, pasti anda berpeluang melihat keindahan bulan baru-baru ini. Subhanallah... sungguh indah ciptaanNya. Ramai juga rakan-rakan di universiti yang berpeluang melihatnya. Melihatkan gambar di atas membuatkan saya tiba-tiba teringat pula dengan keindahan Bulan Senyum pada tahun lepas yang sempat juga saya saksikan, juga ketika sibuk dengan exam (SPM). Sungguh indah ciptaanNya. Melihat fenomena luar biasa bulan dan bintang dikelilingi pelangi, sungguh menakjubkan tetapi ada sesuatu yang lebih menakjubkan apabila saya melihat kembali gambar. nah! terdapat kalimah Allah berhampiran dengan bulan. SubhanaAllah… Maha Suci Allah.
                           
Maha Suci Allah saja yg mengetahui segala apa yg tersirat maupun tersurat. Tak dapat kita sebagai hambaNYA yg kerdil lagi hina nak mentafsir semua yg DIA tunjukkan. Sebaliknya kita wajib mengagungkan kebesaran dan keesaanNYA tanpa mempersoalkan sikit pun apa saja yg DIA jadikan.




Sama-sama lah kita merenung apa yg terjadi ini. Kalau Allah kata "kun fayakun" , maka jadilah. Semoga kita semua ambil iktibar dari apa yang terjadi malam ini. Dan semoga Allah melindungi kita semua dari segala bala bencana dan mala petaka. Amiiin……



Selamat Beramal.
Wallahu'alam

Thursday, November 5, 2009

Beratnya Dugaan, LA TAHZAN...

Mutiara Kata Hari Ini:
Jangan bersedih! La Tahzan! Tidakkah anda memperhatikan bagaimana awan hitam itu tersingkap terang, malam yang sedemikian pekat menjadi terang benderang, angin yang sedemikian kencang itu mendadak tenang, dan angin puyuh tiba-tiba terhenti? Semua itu menandakan bahawa beban hidup anda yang seberat apapun dapat hilang dan berubah menjadi kebahagiaan. Bahkan, kesengsaraan hidup anda juga pasti akan berakhir pada kehidupan yang aman, tenteram dan manjanjikan masa depan yang gemilang.


بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum...


“... Jangan kamu bersedih kerana sesungguhnya Allah bersama kita...”
(Surah At-Taubah 9, Ayat 40).

Sedikit luahan rasa yang terbuku di dalam hatiku sejak dua menjak ni. Hemmm, hidup ni memang terlalu banyak dugaan dan memerlukan banyak pengorbanan. Aku selalu mengingatkan diri aku untuk sentiasa sabar menghadapi apa jua dugaan yang mendatang dan ikhlaskannya kerana Allah, aku berpegang teguh pada janji Allah s.w.t bahawa Dia tidak akan memberi ujian kepada hambaNya sekiranya hambaNya tak mampu untuk menghadapinya. Maksudnya, setiap ujian yang datang itu pasti mampu aku hadapi, cuma bagaimana caranya saja.. Sebab tu lah, apa sahaja dugaan yang datang pasti ada hikmah disebaliknya dan aku kena sabar menghadapinya. Seringkali aku nasihatkan sahabat aku tentang perkara seumpama ni namun terkadang aku sendiri yang hampir mengalah dan berputus asa dengan pelbagai ujian yang mendatang. Tapi... apabila aku bermuhasabah, aku menjadi semakin yakin dan aku redha dengan segala ujian yang datang. InsyaAllah... Segala-galanya ada sebabnya yang tersendiri yang aku sendiri tak tahu apa sebabnya, hanya Allah yang lebih mengetahui segalanya. Apa yang mampu aku lakukan adalah sentiasa berdoa, berusaha, selebihnya menyerahkan segala-galanya kepadaNya yakni bertawakal kepadaNya.

Jika ditimpa pelbagai ujian dan dugaan, aku lebih senang memendamkannya di dalam hati dan mengadu kepada Sang Pencipta. Tetapi kadang-kadang ada masanya, aku juga akan berkongsi rasa bersama keluarga atau sahabat baikku, namun ianya hanyalah antara 20%-40% daripada apa yang aku rasa dan terlalu jarang aku lakukannya kerana sebenarnya aku adalah seorang yang amat perahsia dan tidak ingin menyusahkan sesiapa atas apa yang menimpaku, hanya kepada Ilahi aku yakin untuk meluahkan 100% apa yang aku rasa. Berat rasanya ujian yang datang kali ini, lebih-lebih lagi ia berlaku pada musim peperiksaan ni. Ya Allah, kuatkanlah aku untuk menempuhinya dan teguhkanlah hatiku untuk melawannya, semoga aku akan berpegang teguh kepada prinsipku dan mengikut syariatMu.. Jauhkanlah aku daripada perkara-perkara yang tidak elok, sesungguhnya aku berlindung sepenuhnya hanya kepadaMu. Aku tahu Engkau sentiasa bersamaku, tabahkanlah aku Ya Rahman Ya Rahim, hanya kepadaMu aku sembah dan hanya kepadaMu aku memohon pertolongan, sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah yang tak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa adik beradikku, dosa keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dan dosa seluruh umat Islam yang lain..


Sedikit semangat untuk diri aku sendiri dan juga sesiapa yang sedang menghadapi dugaan atau cabaran, semuanya berdasarkan Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah panduan kita yang terbaik, segala-galanya ada di dalam Al-Quran, betapa indahnya Al-Quran itu. Semuanya terletak pada diri kita sendiri untuk mendalaminya.

KITA BERTANYA: KENAPA AKU DIUJI?
AL-QURAN MENJAWAB
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut, Ayat 2-3)

KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?
AL-QURAN MENJAWAB
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 216)

KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
AL-QURAN MENJAWAB
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al-Baqarah, Ayat 286)

KITA BERTANYA: KENAPA RASA FRUST?
AL-QURAN MENJAWAB
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran, Ayat 139)

KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
AL-QURAN MENJAWAB
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

KITA BERTANYA LAGI: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
AL-QURAN MENJAWAB
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
(Surah Al-Baqarah, Ayat 45)

KITA BERTANYA: APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
AL-QURAN MENJAWAB
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka… “
(Surah At-Taubah, Ayat 111)


KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
AL-QURAN MENJAWAB
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah, Ayat 129)

KITA BERKATA: AKU TAK DAPAT TAHAN!!!
AL-QURAN MENJAWAB
"… ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."
(Surah Yusuf, Ayat 87)

Wallahu’alam..