==================================================
HOME | CORETAN RINGKAS
==================================================

Saturday, July 25, 2009

Cintaku Tertinggal di Kota MAKKAH

Bismillahirrahmanirrahim.
Sambungan dari kisah perjalanan umrah di Madinah....

Setelah meninggalkan Madinah, kami meneruskan perjalanan menuju ke Kota Makkah al-Mukarramah dengan perasaan yang sayu dan sedih kerana terpaksa meninggalkan Nabi SAW. Perjalanan menuju ke Makkah mengambil masa kira-kira dalam 6 jam. Setelah 12km perjalanan, kami berhenti miqat Bir Ali untuk berniat Ihram dan niat menunaikan ibadah umrah (miqat biasa bagi rombongan umrah dari Madinah). Setelah selesai solat sunat di Masjid Bir Ali, kami bersama-sama berniat ihram di atas bas sebagaimana sunnah Rasulullah SAW yang berniat ihram di atas unta baginda. Maka bermulalah perjalanan umrah kami, terasa satu tanggungjawab yang berat untuk kami pikul bagi menjaga pantang larang ihram ini. Kami berjemaah melafazkan talbiah yang diketuai oleh mutawif kami. Laungan talbiah di teruskan untuk beberapa ketika sehingga akhirnya mutawif kami meminta kami meneruskannya secara bersendiri dan mencadangkan agar kami berehat atau tidur kerana perjalanan selepas ini untuk melaksanakan umrah memerlukan tenaga untuk menjayakannya.