==================================================
HOME | TENTANG SAYA | HUBUNGI SAYA
==================================================

Monday, March 9, 2009

Salam Maulidur Rasul: Kasih Sayang Rasulullah

Bismillahirrahmanirrahim.

Selawat Badrul Ain - In Team

Salam Maulidur Rasul kepada semua muslimin dan muslimat yang beragama Islam. Sempena hari yang sangat baik ini sama-samalah kita memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W yang tercinta. 12 Rabiulawal 1430H adalah tarikh hari ini dalam bulan Islam dan tahun Hijrah. Seeloknya kita berpuasa pada hari ini, selain kerana Maulidur Rasul, hari Isnin juga merupakan hari sunat untuk berpuasa. InsyaALLAH, mudah-mudahan dipermudahkan ALLAH. Semoga hari ini menjadi hari yang sangat istimewa untuk kita semua, banyakkan beribadat dan selawat kepada Nabi Muhammad.

Bersempena maulidur rasul ini, ingin saya kongsikan satu artikel yang sangat menyentuh hati kita mengenai Kasih Sayang Rasulullah kepada semua umatnya. Harap anda membacanya sehingga habis dan dapat memberi kesedaran kepada kita semua. InsyaALLAH.

Sumber: iluvislam.com
Seringkali kita mendengar kisah kasih sayang Rasulullah saw, kisah Rasulullah saw di saat akhir kematiannya masih bertanyakan kepada Jibrail tentang umatnya. Nabi tersenyum bila Jibrail berkata bahawa umat Muhammad saw akan dihisab terlebih dahulu daripada umat nabi-nabi yang lain dan kalimat akhir yang keluar dari mulut Nabi adalah " Umatku, Umatku, Umatku." Berikut adalah beberapa kisah berkenaan kasih dan sayang Rasullulah saw terhadap umatnya.

Suasana di Padang Masyhar

Setelah berada di Padang Mahsyar begitu lama dengan segala kepayahan barulah manusia teringat untuk meminta tolong kepada Nabi Adam a.s supaya disegerakan perbicaraan. Selepas 1000 tahun perjalanan, berjumpalah mereka dengan Nabi Adam a.s tetapi Nabi Adam a.s tidak dapat membantu.

Kemudian mereka berjumpa pula dengan Nabi Nuh a.s dengan perjalanan selama 1000 tahun namun Nabi Nuh a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa pula dengan Nabi Ibrahim a.s dengan perjalanan 1000 tahun juga namun Nabi Ibrahim a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa Nabi Musa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Musa a.s pun tidak mampu.

Mereka berjumpa Nabi Isa a.s dengan perjalanan 1000 tahun lagi namun Nabi Isa a.s pun tidak mampu. Nabi Isa a.s menyuruh mereka berjumpa dengan Nabi Muhammad saw.

Lalu mereka berjumpa Nabi Muhammad saw dengan perjalanan 1000 tahun. Mereka berkata,
"Wahai Nabi Muhammad, engkau adalah Pesuruh ALLAH, penutup para Nabi & Rasul,
berilah pertolongan kepada kami agar kami segera dihisab."

Jawab Nabi Muhammad saw,
"Aku akan tolong kamu semua."

Rasulullah saw pun bangun dan menuju ke Arasy. Kemudian Baginda sujud kepada ALLAH YANG MAHA AGUNG dan GAGAH selama seminggu. ALLAH swt pun berfirman,
"Ya Muhammad, angkatlah kepalamu dan mintalah apa yang engkau mahu minta.
Aku akan kabulkan permintaanmu."

Rasulullah SAW menjawab,
"Wahai Tuhan, ini umatku, segerakan kiraan dan pengadilan ke atas hamba-hamba-MU yg telah sekian lama tertahan di Padang Mahsyar dalam keadaan terhina dan terseksa sekali."

Titian Sirat

Setelah selesai menjalani perbicaraan, mereka menuju pula ke titian yg terentang di atas Neraka Jahanam. Keadaan titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. Tidak ada seorang pun terlepas daripada melintasi titian itu. Panjang titian itu sejauh perjalanan 3000 tahun, 1000 tahun naik ke atas, 1000 tahun mendatar dan 1000 tahun menurun (1 tahun di akhirat = 365 ribu tahun di dunia). Mereka yang lalu di atasnya berada dalam keadaan senyap sunyi kerana terlalu bimbang dan cemas. Hanya Rasullullah saw yang mengucapkan kalimah,
" Ya ALLAH, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku, selamatkanlah umatku."

Tingkatan Neraka

Neraka ada 7 tingkat iaitu neraka Hawiah, neraka Jahim, neraka Saqar, neraka Ladza, neraka Hutamah, neraka Sa'ir dan neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah neraka yg teratas sekali, untuk umat Muhammad saw yang sombong dan matinya tidak sempat bertaubat. Apabila Rasulullah saw mendengar Jibrail mengatakan neraka Jahanam untuk umat Rasulullah saw yang sombong, Baginda pengsan. Bila sudah sedar, Baginda bersabda,
"Wahai Jibrail, masih adakah antara umatku yang masuk neraka?

Jibrail menjawab,
"Ya, iaitu mereka yang melakukan dosa-dosa besar dengan sengaja seperti minum arak, judi, zina, riba', hasad dengki, pemarah, gila dunia, gila pangkat dan lain-lain."

Rasulullah saw pun menangis dan Jibrail pun ikut menangis sama.
--------------------------------------------------------------------------------

Kesimpulan pada kisah ini adalah,
Adakah kita sayangkan Rasulullah S.A.W
sepertimana
sayangnya Rasulullah saw kepada kita?

Renung-renungkanlah dan tingkatkanlah keimanan kita di samping sentiasa mengingati dan menyayangi Rasulullah S.A.W. Semoga kisah di atas dapat memberi iktibar kepada kita semua umat Muhammad. Dan, di sini juga ingin saya kongsikan beberapa peristiwa penting yang berlaku pada bulan Rabiulawal yang masih saya ingat melalui pembacaan dan penceritaan.

SEDIKIT PERISTIWA PENTING PADA RABIULAWAL
Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah tentang jatuh bangunnya tamadun Islam pada bulan Rabiulawal. Di antaranya:
  • Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sumber-sumber mengatakan bahawa baginda lahir pada 12 Rabiulawal, tahun Gajah bersamaan 12 April 571M.
  • Pelantikan Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Pada bulan rabiulawal inilah baginda telah diangkat menjadi Rasul ketika usia baginda 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Mekah al-Mukarramah.
  • Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yathrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaah 12 Rabiulawal lalu baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
  • Peperangan banyak berlaku pada zaman Rasulullah SAW di antara tentera Islam dan tentera kufar. Di antara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
  • Wafatnya junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW ialah pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
  • Abu Bakar ra dipilih menjadi khalifah pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah Saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saidina Ali.
  • Pembukaan Baitul Muqaddis. Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583H.
Sama-samalah kita menjadi umatnya yang patuh pada ALLAH dan setiap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Jom ikuti sunnah Nabi =)

Tabarakallah
Anis Hayati

3 comments:

Ms Lya Bear said...

bleh sy cOpy diz utk d lampirkn d blog sy..??

ltzap said...

Laman blog yg menarik dan berinfomasi. Saya sangat suka. Grafiknya menarik. Dan mohon ambik sedikit bahan.Tq

Anonymous said...

terima ksh sgt dgn info y sngt brguna...minta copy untuk buat simpanan yer..

Post a Comment